Pages

11 Februari 2018

KWSP Umum Dividen 2017 adalah 6.9%, Tertinggi Sejak 1999

TERBAIK… Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melakar sejarah apabila mengisytiharkan dividen 2017 masing-masing sebanyak 6.9 peratus (Konvensional) dan 6.4 peratus (Syariah).

Pengerusinya, Tan Sri Samsudin Osman menerusi satu kenyataan di ibu negara hari ini menjelaskan bahawa dividen mencecah 6.9 peratus diberikan untuk pencarum Simpanan Konvensional dengan jumlah agihan RM44.15 bilion.

Manakala dividen 6.4 peratus pula diberikan untuk Simpanan Syariah dengan agihan berjumlah RM3.98 bilion. Tabungan berkonsepkan patuh syarak itu baharu diperkenalkan oleh pihak KWSP mulai caruman awal tahun lepas.

“Jumlah keseluruhan agihan dividen adalah RM48.13 bilion, naik 29.8 peratus daripada 2016,” kata Samsudin dan berkata, pemberian dividen Simpanan Konvensional berkadar 6.9 peratus adalah yang tertinggi pernah diumumkan.

Pendapatan pelaburan kasar bagi 2017 ialah RM53.14 bilion, jumlah tertinggi sejak penubuhan KWSP. Daripada jumlah itu, RM4.60 bilion diatribusi kepada Simpanan Syariah dan RM48.54 bilion untuk Simpanan Konvensional.

Setakat 31 Disember lalu, jumlah simpanan ahli KWSP adalah RM768.51 bilion, dengan RM67.76 bilion memilih skim baru berasaskan Simpanan Syariah manakala RM700.75 bilion pula kekal di bawah Simpanan Konvensional.

Untuk rekod kali terakhir KWSP mencatatkan dividen paling besar ialah pada 1999 iaitu sebanyak 6.84 peratus. Namun agensi dana itu pernah merekodkan dividen tertinggi yang mencecah 8.5 peratus dari 1983 sehingga 1987.

Semasa ditubuhkan pada 1951 lalu, KWSP mengisytiharkan dividen tabungan para pencarumnya setahun kemudian cuma sebanyak 2.5 peratus sehingga 1959 dan kadar berkenaan terus meningkat stabil setiap tahun selepas itu.

KWSP diwujudkan untuk memenuhi keperluan dana persaraan bagi pekerja swasta dan awam yang tidak berpencen malah sehingga September 2016, ia mempunyai seramai 14.72 juta ahli dan majikan aktif pula berjumlah 541,503.

Saiz dana KWSP pada ketika ini dianggarkan bernilai kira-kira RM400 bilion dengan ia mampu menjana pulangan menerusi pelbagai portfolio pelaburan strategik sama ada di dalam dan luar negara. – Sumber; Agensi/Mynewshub.cc/HAA