Pages

08 Mei 2018

Kisah Misteri Rumah Semi-D Rawang

Sekadar gambar hiasan.

Assalamualaikum w.b.t.

Beberapa tahun yang lepas aku ada kenal dengan seorang budak praktikal yang datang untuk praktikal di tempat aku kerja, area Rawang. Budaknya seorang yang baik, kurus tinggi, rajin solat, bijak, selalu hafal hadis dan bercita-cita besar nak melanjutkan pelajaran dalam bidang pengajian Islam di Mesir suatu masa nanti. Namanya adalah Imran (Bukan nama sebenar) dan umurnya aku agak-agak dalam lingkungan 20-an atau lebih.
Sebelum aku memulakan cerita dengan lebih lanjut, aku nak cerita sedikit pasal diri aku, lama tak update blog juga berkait dengan kerja yang aku ceburi iaitu sebagai operator mesin digital di sebuah kilang percetakan tersebut secara part time. Mesin yang aku kena urus bukan calang-calang mesin, harganya boleh beli Ferrari sebuah dan hanya ada 7 buah sahaja di Malaysia ketika itu dan tugas aku adalah setiap hari kena print proof, cari paper, potong paper di cutter machine, Print kulit buku, check color proof, maintenance mesin dan yang aku paling suka sekali adalah bersembang dengan abang & pakcik kat situ yang ada seribu macam cerita yang takkan habis punya.
Tak kira Cina , Melayu, India ke kami semua macam adik beradik dan saling hormat menghormati antara satu sama lain. Kilang yang terletak dalam 5 minit ke Bandar Rawang itu merupakan kilang percetakan yang terbesar di Rawang dan banyak buku-buku dan akhbar popular yang dicetak di situ. Mungkin sebab itulah ramai pelajar yang suka praktikal di kilang itu sebagai syarat wajib nak tamatkan pelajaran.
Berbalik kepada si Imran ni, apa yang aku paling suka dekat budak ni adalah dia seorang yang suka hormat orang yang lebih tua dan tidak suka bercakap kosong. Minggu pertama kenal, kami hanya bertegur sapa dan tanya nama sahaja. Masuk minggu kedua si Imran ni ditugaskan oleh boss aku untuk belajar mesin Digital yang harganya 3 Juta tu dengan dilatih oleh aku sendiri selama sebulan. Aku masa tu ok je, sekurang-kurangnya ada juga teman untuk berbual  sambil duk print job proof. Sambil bersembang mula la aku tanya macam-macam termasuk rumah dia kat mana… Aku tengok muka dia cuak je nak jawab macam takut-takut je nak bagitau. Setelah didesak banyak kali akhirnya dia buka ceritanya.
Pada mulanya, aku dengar  cerita dia aku anggap biasa-biasa saja tapi lama-lama aku dengar makin menarik pulak dan bercampur SERAM…...hehehe.. 
Okay, ceritanya macam ni, si Imran ni merupakan anak sulung dari 4 orang adik beradik. Kiranya dia seorang sahaja HERO lelaki dan adiknya yang 3 orang lagi adalah perempuan, dua adik perempuan dia masih bersekolah dan seorang lagi masih kecil kira bayi macam tu. Ayahnya adalah seorang komando Polis dan Ibunya adalah suri rumah sepenuh masa. So ayahnya ditugaskan di area Rawang, dan diorang satu keluarga terpaksa la ikut berpindah ke situ. Tak silap aku masa pindah tu umur dia dalam 12 tahun, kira darjah enam macam tu.
Sudah tabiat semua orang memang sukakan benda yang murah termasuk sewa rumah yang murah berbanding harga semasa di lokasi sama. Sebelum ayahnya lapor diri, Keluarga nya masa tu cari rumah area Rawang dan akhirnya mereka dapat rumah yang agak murah di Bandar C H . Nombor jalan dan juga nombor rumahnya terpaksa aku rahsiakan bagi menjaga privasi tuan rumah dan yang aku dapat tau dari Imran, ownernya adalah bukan muslim dan amat baik.
Rumah yang mereka sewa juga adalah berjauhan dengan jiran-jiran melayu yang lain dan sebelah kiri adalah Tokong dan Kuil yang saling dibina berhadapan antara satu sama lain. Jiran-jiran semuanya adalah non-Muslim dan buat hal sendiri atau mementingkan privasi masing-masing. Aku pernah pergi ke sana dua kali sebab hantar si Imran ni balik rumah, tengok suasana pun dah seram walaupun masa tu baru pukul 6 petang, bagi aku kalau duduk di kawasan tu memang jauh sekali la kita nak dengar bunyi azan setiapkali masuk waktu.
Nak dijadikan cerita, mulanya di Imran dan keluarganya seronok la, dapat duduk di sebuah rumah Semi-D dua tingkat yang ada empat bilik, dua parking kereta dan paling hujung (Corner Lot), kira besar juga la rumah tu untuk family. Berhadapan rumahnya ada sebuah semi-D corner lot yang ditinggalkan oleh orang, keadaannya terbengkalai dan pintu tingkat semuanya sudah pecah dan dimakan anai-anai.
3 bulan duduk di rumah itu sama macam biasa dan tidak ada apa-apa masalah dihadapi oleh Imran sekeluarga. Sekolah pun berjalan seperti biasa dan Imran dah berjaya sesuaikan diri di tempat baru dan dapat ramai kawan. 
PERMULAAN
Pada suatu hari (Selepas 3 bulan duduk di rumah tu), adik perempuan Imran tinggal berseorangan di dalam bilik. Imran, mak, ayah adik-adiknya yang lain tidak ada di rumah atas urusan masing-masing. Adik perempuan dia duk layan lagu dalam bilik. Tiba-tiba pintu bilik diketuk bertalu-talu hingga buatkan dia terkejut. Jadi, dia buka pintu sebab ingatkan adik atau abangnya nak masuk. Buka pintu pulak tiada orang depan pintu. Dia pelik dan tutup balik pintu tu.. Selang 5 minit dia cuba perlahankan lagu yang dipasang, bunyi pintu diketuk berulang lagi. Pada masa tu dia dah rasa lain macam dan fikir mungkin adik beradik yang lain nak main-mainkan dia. Dah la ketuk kuat macam nak pecahkan pintu bila buka tiada orang. Kali ketiga dia dengar lagi ketukan pintu lagi, rasa takut tak payah nak cerita la, kalau kita kena macam tu confirm dah lari ikut tingkat, hehehe. Kali ketiga diketuk adik perempuan Imran ni terdengar suara mak dia pangil untuk makan tengah hari. Baru la dia rasa lega dan cepat-cepat buka pintu untuk ke dapur. Malangnya.. korang nak tau apa dia jumpa? Kosong…. Kat dapur mana ada orang daaa..Nasi pun tak masak lagi, terus adik dia cepat-cepat keluar rumah pergi rumah kawan dia sampai ke petang baru balik, sampai rumah dia ceritakan dekat keluarganya apa yang berlaku, semua ahli keluarga tak percaya dan anggap dia saja reka-reka cerita. 

Sejak hari itu lah macam-macam benda pelik yang ahli keluarga dia alami. Imran dan keluarganya mula sedar yang rumah sewa diorang sebenarnya bermasalah disebabkan oleh peristiwa- peristiwa di bawah ini:
  1. Mak Imran setiap kali ke dapur akan rasa yang dapur tu jauh sangat sedangkan jarak dapur dari ruang tamu hanya 10 kaki je. Benda ni buatkan dia rasa malas nak pergi dapur untuk masak tapi terpaksa juga gagahkan diri.
  2. Sebelum sampai dapur ada sebuah lagi bilik. Bilik tu selalu dibiarkan pintunya terbuka. Mak si Imran selalu lalu ke dapur dan perasan dari ekor mata yang ada makhluk yang duduk mengunjurkan kaki dari dalam bilik tu. (Nampak separuh kaki dari bawah ke lutut). Bila mak nya nak pergi dekat dia macam nak bangun untuk larikan diri.
  3. Maknya suka tengok cerita Korea sampai malam-malam. Semua orang dah tidur pun dia tengok lagi sorang-sorang. Suatu malam. Sedang duk tengok korea dia rasa ada orang duduk tepi sofa pada masa tu. Dia tutup TV terus naik atas tidur.
  4. Imran kena dah banyak kali antara yang dia tak akan lupa adalah dekat tangga masa naik tingkat dua ada sebuah tandas. Lepas main bola (petang) dia naik atas. Kemudian dia terdengar ada orang main air dalam baldi dekat tandas atas. Dia intai dan dilihatnya ada budak lelaki kepala botak main air dalam baldi membelakangi dia. Terkejut Imran jerit dalam hati, SEJAK BILA DIA ADA ADIK LELAKI WEIIIII? 3 hari demam!
  5. Ayah dia yang komando Polis tu lagi WIN, waktu cuti dia baca quran. Tak silap masa tu pagi dalam pukul 10 pagi dekat bilik master menghadap tingkat. Tengah baca Quran tiba-tiba belakang rasa dicucuk-cucuk banyak jarum dan rasa panas macam kena api. Dia paling belakang dan nampak nenek bongkok tua bermuka buruk berdiri di belakang dia, jarak dalam satu setengah meter tengah tenung tajam dekat dia macam nak terkam. Dia pusing perlahan-lahan nak teruskan bacaan Quran makhluk tu terbang menembusi atap rumahnya.. Pergh.. Serius Seram! Deman juga 3 hari!!!
  6. Masa tidur si Imran selalu buka tingkat bilik. Sebabkan dia seorang sahaja lelaki jadi dia kena duduk bilik single. Sebelum tido dia layan main game guna smartphone. Tiba-tiba anjing jiran sebelah kuat menyalak macam marahkan sesuatu (Jiran sebelah rumah India kahwin dengan Cina ada bela seekor anjing). Imran dah rasa lain macam, dia tengok tingkat dan nampak jelas ada bayangan makhluk dari luar masuk ke tingkat biliknya walaupun ada besi. Kesan bentuk makhluk tu jelas bila lalu ikut langsir bilik. Imran apa lagi, terus selimut tutup muka..
  7. Adik si Imran yang paling bongsu, masih bayi selalu menangis sejak pindah ke situ tanpa sebab. Akhirnya panggil sorang ustaz datang rumahnya. Ustaz tu buka pakaian adik dia sambil baca sesuatu. Masa tu sesisi keluarga dapat lihat jelas bayi tu ada kesan merah bentuk telapak tangan di dadanya macam ditekan oleh sesuatu. Ustaz tu balik dan sebelum balik dia pagarkan rumah.Bila ditanya ustaz tu cakap satu patah perkataan sahaja"Semua ini urusan Allah". Gangguan tu terhenti 3 bulan kemudian datang balik.
  8. Semasa nak balik kampung, semua ahli keluarga dah duduk dalam kereta kecuali ayah si Imran kat luar nak kunci pintu pagar. Macam yang aku cerita sebelum ni, depan rumah dia rumah terbengkalai dan tak ada tingkat. Ayah Imran terkejut bila dipandangnya tingkat dua dalam bilik master rumah jiran dia tu ada Pontianak berkain putih muka buruk duk depe tangan dekat dia. Ayahnya apa lagi..komando tak komando, tutup pintu kereta terus pecut laju-laju…
  9. Imran dapat tau penyewa sebelum ini adalah kawannya sendiri. Kawan dia cerita yang rumah tu memang berhantu dan kakaknya selalu kena usik. Kawan Imran juga  ada cerita yang kakaknya balik sekolah pukul 2 petang, buka pintu tengok banyak mayat duk gantung diri dalam rumah tu. Bukan satu mayat tapi berbelas mayat duk tergantung dekat rumah. Terkejut tutup pintu lari ke rumah kawan dia sebab takut dah nak balik tumah tu.
  10. Berbagai lagi cerita yang aku tak nak tulis lagi kat sini, risau nanti terbawa-bawa dalam mimpi korang lak. Aku yang dengar cerita ni dan pernah melawat sendiri kawasan tu pun 2 hari tak lena tidur.

PENAMAT YANG BUKAN PENAMAT SEBENAR..

Akhir sekali aku nak maklumkan yang Imran bertahan dekat rumah tersebut selama 3 tahun kemudian menyewa dekat rumah lain dekat area situ juga. (bagi aku kira dah lama tuu..). Macam-macam dugaan yang diorang hadapi tapi yang peliknya gangguan tu datang secara mengejut kemudian berhenti sekejap kemudian datang lagi. Semasa nak pindah keluar pun macam-macam dugaan dia dan keluarga alami, termasuk dengan kontraktor (cina, suami isteri) yang diupah oleh owner rumah tiba-tiba diserang oleh satu makhluk sampai berdarah. Bila ditanya pak guard bangla situ semua cakap sesiapa yang sewa rumah tu paling lama dapat bertahan 2 bulan sahaja dan ada yang bertahan 2 malam sahaja. Rumah tu masih ada lagi sehingga kini dan macam-macam cara dah owner buat untuk halau tetapi tidak berhasil. 

Rumah tu juga sering bertukar-tukar penyewa sampai la sekarang sebab keadaannya yang keras dan berpenghuni. Dari info yang terbaru aku terima (2018), owner buat taska pulak rumah tu dan ada seorang dua murid yang tiba-tiba menghadap dinding dan sembang sorang-sorang. Dari apa yang dikatakan oleh orang bijak pandai yang cuba memulihkan kat tempat tu. Rumah itu sebenarnya adalah transit segala Jin, hantu dan Iblis yang berada di area Rawang, walau macam mana cara pun kita halau tetap dia akan datang balik umpama sebatang magnet yang dihalakan ke serbuk besi. Atau mungkin kawasan tersebut merupakan tempat buang benda-benda tahyul yang diamalkan oleh nenek moyang sebelum kita dahulu sebelum dibuatnya taman perumahan (Wallahu a’lam bish-shawab). 

Sekian sahaja dari aku. Lupa nak maklum yang cerita ni BUKAN REKAAN, sudah lama aku pendamkan rasa untuk share benda ni dalam blog aku ni akhirnya peluang tu ada jua. Dan terus terang yang aku sebenarnya risau nak post cerita ni sebab kalau diikutkan, orang-orang area bandar C H mesti dah dapat agak rumah yang aku ceritakan ni, kan tak pasal-pasal kena sound dekat owner . Apa yang Imran cerita dekat aku tu semua aku olah dekat sini tanpa tambah cerita. hanya orang yang mengalaminya sahaja yang akan faham dan tahu cerita ini. Semoga kita ambil pengajaran atas apa yang tertulis dan selalu mengingati Allah walau dimanapun kita berada.

Kalau sesiapa yang berminat untuk jadi UncleSeeker boleh je try untuk tido di rumah itu untuk sehari dua ye. Hehehe...

Terima kasih sudi berkunjung dan membaca posting ini.

Assalamualaikum w.b.t