Pages

23 Ogos 2016

Nak Berniaga? Boleh Cuba Trak Makanan Bergerak (Food Truck) !!!


PERNIAGAAN trak makanan kini semakin mendapat tempat di seluruh dunia. Konsep menjual makanan dan minuman menggunakan trak unik kerana lain daripada konsep perniagaan makanan sedia ada.

Adapun perniagaan trak makanan ini bukanlah satu kaedah baharu. Berdasarkan sejarah awal, trak makanan mula diusahakan di Amerika Syarikat (A.S) sekitar tahun 1961 di mana perniagaan jualan makanan menggunakan kereta tolak menjadi ikutan dan semakin popular.

Selepas itu, konsep jualan makanan menggunakan kenderaan kian berubah mengikut zaman dan ekoran perkembangan teknologi, wujudlah perniagaan yang dinamakan trak makanan yang bergerak dari satu kawasan ke kawasan lain.

Apa yang menarik, trak makanan bukanlah perniagaan semata-mata kerana ia melibatkan kenderaan yang berkemampuan untuk mengembara dalam perjalanan yang jauh.

Bermula pada tahun 1866, trak makanan pertama iaitu The Chuck Wagon telah dibina oleh seorang usahawan bernama Charles Goodnight dengan menjual makanan dan minuman kepada peladang dan penggembala lembu di beberapa daerah di barat A.S.

Selepas itu, percambahan perniagaan trak-trak makanan seperti cendawan tumbuh selepas hujan dan lebih menarik, reka bentuk trak juga mengalami revolusi sehingga ke hari ini.

Jika di Malaysia, perniagaan trak makanan ini seakan menjadi satu trend perniagaan yang semakin popular. Apa yang lebih mengejutkan, disebabkan wujudnya trak makanan ini, lebih ramai golongan muda tampil menjadi peniaga dengan melibatkan diri dalam industri trak makanan.

Tidak sekadar itu, kreativiti golongan ini juga telah terserlah menerusi reka bentuk dan imej menarik yang dipaparkan menerusi trak yang mereka gunakan.

Pengerusi Biro Belia dan Sukan GGP, Aden M. Mohd. Tap memberitahu pihaknya amat teruja melihat peningkatan penglibatan golongan muda dalam perniagaan trak makanan.

Katanya, keadaan tersebut memperlihatkan kesungguhan yang ditunjukkan peniaga generasi baharu Melayu dan bumiputera yang bersemangat dalam menjalankan perniagaan.

“Golongan peniaga trak makanan amat komited dan kreatif dalam menjalankan perniagaan. Mereka juga sungguh inovatif dan itu terbukti apabila wujudnya trak-trak makanan dengan reka bentuk menarik dan pelbagai.

“Oleh kerana itu, kami sentiasa merangka pelbagai inisiatif untuk membantu mereka mencari peluang bagi meneruskan perniagaan trak makanan tersebut,” katanya.

Pada masa sama, Aden memberitahu, pengusaha trak makanan tidak sepi daripada pelbagai cabaran termasuklah isu pelesenan dan kemudahan berniaga.

Katanya, disebabkan perniagaan ini tidak memiliki lesen khas yang membolehkan ia dijalankan, maka pengusaha berdepan jalan sukar untuk meneruskan hasrat menjalankan perniagaan.

“Oleh yang demikian, diharapkan pihak berkuasa dapat mencari jalan penyelesaian untuk membantu peniaga-peniaga trak makanan meneruskan perniagaan mereka.

“Kebanyakan yang menjalankan perniagaan ini adalah generasi Y yang menyimpan hasrat untuk maju dalam bidang tersebut. Oleh itu, diharapkan pihak berwajib dapat mewujudkan platform kepada mereka untuk meneruskan perniagaan,” katanya. 

– Sumber : Boleh baca selebihnya di sini...  >>>

22 Ogos 2016

Skim Cepat Kaya 2016..HATI-HATI!!!


Skim Piramid atau lebih dikenali sebagai Skim cepat kaya mendapat sambutan hangat sekitar 2010 sehinggalah sekarang, mungkin dulu target utamanya ada orang-orang kampung yang kurang pendedahan tetapi pada zaman sekarang, golongan professional pun turut menjadi mangsa sehingga boleh terjebak dengan skim-skim ini. Dalam dua bulan kebelakangan ini juga saya perhatikan, media sering melaporkan tertangkapnya 'Datuk' dan golongan 'Cikgu' antara yang ramai menjadi dalang dalam skim pelaburan haram MLM (Multi Level Marketing) ini sehingga melibatkan banyak tangkapan dibuat. 

Dari apa yang saya perasan, Skim MLM ini muncul dengan cara yang berbeza mengikut kehangatan ekonomi sesuatu zaman. Tahun 2012 ketika harga emas mula memuncak, maka muncul skim pelaburan emas berasaskan emas dan tahun 2013 apabila pasaran saham mula meningkat muncul pula skim saham dan Forex yang menawarkan pelbagai pulangan yang menguntungkan. Manakala ketika kerajaan mempromosi bidang pertanian dan penternakan, maka muncul pula skim cepat kaya berasaskan penternakan seperti ikan keli, ikan arowana, lintah, penternakan burung unta dan sebagainya. Antara Skim MLM yang pernah saya dengar di negara kita adalah Skim Pak Man Telo, Swisscash, Genneva, Pegasus Bullion, Emas ETA, Mecca Fund dan UFun/UToken dan tahun ini pula (2016) kita dikejutkan dengan skim bernama Highway Group. Anda jangan salah faham, ini bukan Projek Bina Lebuh Raya tau.. nanti saya ceritakn secara terperinci..

Okay.. Apakah skim cepat kaya dan bagaimana mengenali skim cepat kaya atau skim pelaburan penipuan ini ?

Sebenarnya, mudah untuk mengenali skim cepat kaya, hanya dengan satu perkataan iaitu “Luar Biasa”. Modus operandinya skim pelaburan palsu ini adalah sama iaitu luar biasa menawarkan pulangan yang tinggi tanpa risiko, luar biasa menjana keuntungan tambahan apabila berjaya mendapatkan orang bawah atau downline yang baru dan tidak memiliki produk atau bertopengkan sesuatu produk sehingga membuatkan pelabur YAKIN untuk mengeluarkan duit.

Berbalik kepada SKIM yang terkantoi pada 2016 ini, Skim tersebut  mengutip banyak wang daripada ‘pelabur’ dan kemudiannya memberi pulangan selepas waktu-waktu tertentu. Lebih banyak wang yang ‘dilaburkan’, maka lebih tinggilah jumlah pulangan. Dan jika anda merekrut ‘pelabur’ lain ke dalam program ini, anda akan dapat menikmati pulangan yang amat menarik.

Antara Kesalahan yang dibuat oleh Skim-skim cepat kaya tersebut adalah:
  1. Pertama: syarikat ini mengutip wang pelabur Malaysia. Ini adalah satu kesalahan disegi undang-undang kerana hanya entiti2 terpilih saja (e.g. bank, syarikat unit amanah dan syarikat insurans) sahaja yang boleh bertindak demikian.
  2. Syarikat ini memberikan ‘pulangan’ daripada ‘pelaburan’ yang dibuat (bukti ‘pelaburan’ tidak pula diberikan; cuma main sebut saja!). Ini bermakna program ini adalah satu pelaburan, yang bermakna mereka sekali lagi menyalahi undang-undang di Malaysia.
  3. Syarikat ini juga menggunakan konsep MLM (boleh rekrut downline/ orang bawah). Hanya syarikat yang mempunyai lesen jualan langsung (direct selling) yang dibenarkan bertindak demikian. Ini lagi satu kesalahan kerana setahu saya skim pelaburan tersebut tak mempunyai lesen tersebut.
  4. ‘Pulangan’ pelaburan (ROI- Return of Investment) yang diberikan tak masuk akal – 214% dalam masa 4 bulan! Seperti yang saya selalu khabarkan, walaupun kita semua mahu ROI yang tinggi, ROI tersebut mestilah angka yang sensible dan reasonable. Dan ROI 214% dalam masa 4 bulan tak masuk akal langsung! Ini seperti team bolasepak kampung Seri Wangi mengalahkan Real Madrid dengan scoreline 10–0!
  5. Mengapa ROI tersebut tak masuk akal? Legenda2 pelaburan dunia seperti Warren Buffett dan George Soros pun ‘hanya’ memberikan ROI diantara 22%-34% setahun! Jadi masuk akalkah orang yang baru berniaga beberapa bulan boleh memberikan pulangan yang begitu tinggi menggila?
  6. Jika betul angka ‘pulangan’ itu pula, sudah tentu satu dunia akan melompat! Majalah Fortune dan Forbes serta stesyen TV CNN dan Al-Jazeera akan menemuramah pengurus pelaburannya, dan satu dunia juga akan datang berpusu-pusu untuk melabur dalam program ini. Semua ini tak berlaku dan malah tak ada siapa di luar Malaysia yang ambil kisah langsung tentang skim ini.
  7. Jangan juga terpedaya dengan agreement yang dimatikan stem LHDN. Agreement 100 muka surat dan distem 100 kali pun tak bermakna jika pihak yang buat agreement itu tak dapat tunjuk muka kerana takut dihentam, tak mahu atau tak berdaya menunaikan apa yang telah dijanjikan.
  8. Untuk mengaburi mata ‘pelabur’, ikon-ikon skim tersebut membuat berbagai claim, yang kadang-kadang bercanggah antara satu dengan lain. Ada ikon yang kata skim itu adalah pelaburan (mengumpul dana), ada yang kata perniagaan (property, developer dan money exchanger) dan ada pula yang kata koperasi. Dengan membuat claim-claim begini, senanglah mereka mengaburi mata ‘pelabur’. Bila ‘pelabur’ tanya mengapa tak ada ciri-ciri pelaburan (seperti yang saya sebut di atas), ikon jawab ianya ‘perniagaan’. Bila ‘pelabur’ tanya mengapa tak ada ciri2 ‘perniagaan’, ikon jawab ianya satu ‘pelaburan’! Bila kedua2nya tak boleh pakai, ikon jawab ianya berkonsepkan koperasi. Jadi salah satu jawapan itu mesti betullah macam tu!
Kesimpulannya. 

Untuk melabur janganlah kita mudah sangat terpengaruh dengan kata-kata manis orang (tak kira dia kawan sekolah, adik beradik, atau saudara mara), selidik dahulu sebelum terpedaya dengan skim-skim pelaburan yang tidak diiktiraf kerajaan. Untuk melabur secara sah, rujuklah badan-badan kewangan yang diiktiraf seperti KWSP, Bank, Amanah Saham Nasional, Tabung Haji dan sebagainya. Saya kesian dengan para ibu-bapa yang terkena skim-skim seperti ini, dah la ada ramai anak yang kena tanggung, ditambah lagi hutang bank yang dipohon semata-mata untuk dilaburkan ke skim-skim tersebut, hasilnya kosong...duit tak dapat habuk pun tak ada. Sesal dahulu pendapatan sesal kemudian tiada gunanya.... 

Dari apa yang saya tahu, skim-skim seperti ini pasti akan muncul lagi pada masa akan datang, menggunakan nama lain, produk lain, target lain dan juga modus operandi yang berbeza.. hati-hatilah kita semua. Kemungkinan dalam tahun ini juga akan terbongkar satu lagi Skim Cepat kaya yang menggunakan nama badan kerajaan yang lebih besar dari Skim Highway tersebut dalam sebulan dua ini, kita tunggu dan lihat sahaja..

Sekian Terima kasih