Pages

31 Disember 2015

2015 Di Penghujung, Anda Sudah Bayar ZAKAT?


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Sempena hujung tahun ini terdetik hati nak menulis berkaitan dengan ZAKAT. Bagi penganut agama Islam, kita diwajibkan membayar zakat jika sudah menepati syarat-syarat tertentu, tetapi ramai umat Islam di negara kita hanya bayar zakat Fitrah sahaja pada setiap kali sebelum menyambut Hari Raya Aidilfitri. Sebenarnya, ada beberapa lagi kategori zakat yang kita tidak ambil maklum iaitu ZAKAT HARTA yang merangkumi ; Zakat Pendapatan, Zakat Perniagaan, Zakat Wang Simpanan, Zakat Saham, Zakat KWSP, Zakat Emas, Zakat Perak, Zakat Pertanian dan Zakat Ternakan.

Zakat pendapatan bermaksud zakat yang dikenakan ke atas perolehan yang merangkumi pendapatan gaji dan pendapatan bebas. Ianya diklasifikasikan sebagai harta yang ikhtilaf untuk dikenakan zakat, namun zakat ini telah diwajibkan pada tahun 1997 oleh Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia. Terkecuali negeri Perak sahaja pada tahun 2004 telah mewartakan bahawa zakat pendapatan adalah tidak wajib dikutip. 

Bagi saya, jika kita sudah dikategorikan sebagai mampu untuk membayar zakat, bayarlah walaupun sedikit kerana Allah pasti akan mengcukupkan / menambah kembali rezeki tersebut berlipat kali ganda nanti, InsyaAllah. Namun ramai umat Islam khususnya di Malaysia masih belum memahami konsep berzakat dan masih ramai umat Islam yang belum melaksanakan tuntutan ini walaupun mereka sudah dikategorikan mempunyai pendapatan yang berlebihan pada setiap bulan @ tahun.

Setiap individu yang ingin mengeluarkan zakat perlu memahami syarat-syarat bagi wajib membayar zakat.  Antara Syarat-Syarat WAJIB membayar zakat adalah :
  1. Orang Islam (Zakat hanya diwajibkan kepada orang-orang Islam sahaja).
  2. Mereka Yang Mempunyai Harta Yang Sempurna Milik - (Harta yang hendak dizakat hendaklah dimiliki dan dikawal sepenuhnya oleh orang Islam yang merdeka. Bagi harta yang berkongsi antara orang Islam dengan orang bukan Islam, hanya bahagian orang Islam sahaja yang diambil kira di dalam pengiraan zakat).
  3. Harta tersebut telah cukup Nisab - (Nisab adalah paras minimum yang menentukan sesuatu harta itu wajib dikeluarkan zakat atau tidak. Nisab menggunakan nilai emas harga semasa iaitu 20 misqal emas bersamaan 85 gram emas).
  4. Cukup Haul - (Bermaksud genap setahun iaitu selama 354 hari mengikut tahun Hijrah atau 365 hari mengikut tahun Masihi).

Secara amnya anda akan peroleh dua hikmah dalam berzakat antaranya dapat  MENSUCIKAN DIRI, dan juga MENYUBURKAN HARTA. Manakala jika dilihat secara khusus, zakat mempunyai banyak hikmah lain terutama jalinan sosial & tanggungjawab kita kepada umat Islam yang lain, Perincian HIKMAH berzakat antaranya:-
  1. Dapat mensucikan diri  dari dosa, membersihkan diri dari perasaan bongkak dan tamak pembayar zakat.
  2. Membersihkan dan menyuburkan harta pembayar zakat.
  3. Sebagai ungkapan rasa syukur ke atas nikmat yang telah diberikan oleh Allah Subhanahu Wataala, di kalangan orang yang berada, kerana asal kekayaan itu adalah daripada Allah jua.
  4. Sebagai sokongan moral kepada orang yang baru masuk Islam (muallaf)
  5. Menambah pendapatan negara untuk projek-projek yang berguna bagi ummat 
  6. Membentras penyakit iri hati, rasa benci dan dengki  orang fakir dan miskin terhadap orang kaya, dan sebagai pengikat sialturrahim antara golongan kaya dengan yang miskin serta sebagai penghapus jurang yang menjadi pemisah antara golongan yang kuat dengan yang lemah
  7. Memberikan peluang kepada golongan kaya untuk beramal ibadat melalui mengeluarkan zakat dengan mengagihkan sebahagian kecil kekayaan mereka kepada golongan yang kurang berada.
  8. Mewujudkan perhubungan antara hamba dengan ALLAH SWT di samping perhubungan antara manusia dengan manusia.
  9. Mewujudkan kesatuan di kalangan masyarakat Islam dalam urusan ekonomi dan kewangan.
  10. Memberi masyarakat satu cara mengurus ekonomi dan kewangan yang diredhai oleh ALLAH SWT.
  11. Melahirkan rasa tenang dan tenteram dalam hati dan jiwa pembayar zakat
Untuk mereka yang terlalu sibuk dengan urusan perniagaan dan bekerja, banyak saluran yang boleh kita guna untuk membuat bayaran zakat. Saluran alternatif lain untuk bayaran zakat boleh dibayar melalui Bank Islam (TAP), Cimb Click, Maybank2u dan banyak lagi selain dari pergi sendiri ke kaunter. Jika anda bekerja di KUALA LUMPUR misalnya, bayaran Zakat boleh dibayar kepada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, (MAIWP) yang menjadikan Pusat Pungutan Zakat, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) sebagai medium untuk membuat pembayaran.

Urusan PPZ juga sangat bagus dan memudahkan, anda boleh terus buat pembayaran secara dalam talian menerusi LINK PPZ ini. Dalam laman web tersebut juga kita boleh buat pengiraan tentang jumlah sebenar zakat pendapatan kita dengan mudah. Anda tidak perlu risau, segala transaksi akan direkodkan dan resit bayaran boleh dicetak secara dalam talian pada bila-bila masa. Hal ini penting bagi memudahkan anda membuat tafsiran cukai setiap hujung tahun nanti.

Keistimewaanya dari sudut lain. Jika anda buat bayaran zakat, tentu sahaja anda akan dapat pengecualian CUKAI 100% apabila anda declare cukai di LHDN melalui e-filing nanti. Contohnya jika anda bayar zakat RM1000, cukai pendapatan anda juga akan diberi keistimewaan potongan RM1000. Rasanya di negara lain tiada yang macam ni kecuali negara yang rakyatnya majoriti Islam.

Akhir kata, bagi saya.. dalam membayar zakat niat hati kita kenalah ikhlas. Lebih penting kita buat bayaran zakat ini adalah niat untuk sucikan harta dan menyumbang ke arah kebajikan, bukan untuk untuk mendapatkan rebat cukai semata-mata.. Sekian sahaja.

Selamat menyambut tahun baru 2016. Terima kasih.

*Anda sudah bayar Zakat? ('-') Sebarang Info lanjut anda boleh layari laman web www.zakat.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan