Pages

23 Ogos 2016

Nak Berniaga? Boleh Cuba Trak Makanan Bergerak (Food Truck) !!!


PERNIAGAAN trak makanan kini semakin mendapat tempat di seluruh dunia. Konsep menjual makanan dan minuman menggunakan trak unik kerana lain daripada konsep perniagaan makanan sedia ada.

Adapun perniagaan trak makanan ini bukanlah satu kaedah baharu. Berdasarkan sejarah awal, trak makanan mula diusahakan di Amerika Syarikat (A.S) sekitar tahun 1961 di mana perniagaan jualan makanan menggunakan kereta tolak menjadi ikutan dan semakin popular.

Selepas itu, konsep jualan makanan menggunakan kenderaan kian berubah mengikut zaman dan ekoran perkembangan teknologi, wujudlah perniagaan yang dinamakan trak makanan yang bergerak dari satu kawasan ke kawasan lain.

Apa yang menarik, trak makanan bukanlah perniagaan semata-mata kerana ia melibatkan kenderaan yang berkemampuan untuk mengembara dalam perjalanan yang jauh.

Bermula pada tahun 1866, trak makanan pertama iaitu The Chuck Wagon telah dibina oleh seorang usahawan bernama Charles Goodnight dengan menjual makanan dan minuman kepada peladang dan penggembala lembu di beberapa daerah di barat A.S.

Selepas itu, percambahan perniagaan trak-trak makanan seperti cendawan tumbuh selepas hujan dan lebih menarik, reka bentuk trak juga mengalami revolusi sehingga ke hari ini.

Jika di Malaysia, perniagaan trak makanan ini seakan menjadi satu trend perniagaan yang semakin popular. Apa yang lebih mengejutkan, disebabkan wujudnya trak makanan ini, lebih ramai golongan muda tampil menjadi peniaga dengan melibatkan diri dalam industri trak makanan.

Tidak sekadar itu, kreativiti golongan ini juga telah terserlah menerusi reka bentuk dan imej menarik yang dipaparkan menerusi trak yang mereka gunakan.

Pengerusi Biro Belia dan Sukan GGP, Aden M. Mohd. Tap memberitahu pihaknya amat teruja melihat peningkatan penglibatan golongan muda dalam perniagaan trak makanan.

Katanya, keadaan tersebut memperlihatkan kesungguhan yang ditunjukkan peniaga generasi baharu Melayu dan bumiputera yang bersemangat dalam menjalankan perniagaan.

“Golongan peniaga trak makanan amat komited dan kreatif dalam menjalankan perniagaan. Mereka juga sungguh inovatif dan itu terbukti apabila wujudnya trak-trak makanan dengan reka bentuk menarik dan pelbagai.

“Oleh kerana itu, kami sentiasa merangka pelbagai inisiatif untuk membantu mereka mencari peluang bagi meneruskan perniagaan trak makanan tersebut,” katanya.

Pada masa sama, Aden memberitahu, pengusaha trak makanan tidak sepi daripada pelbagai cabaran termasuklah isu pelesenan dan kemudahan berniaga.

Katanya, disebabkan perniagaan ini tidak memiliki lesen khas yang membolehkan ia dijalankan, maka pengusaha berdepan jalan sukar untuk meneruskan hasrat menjalankan perniagaan.

“Oleh yang demikian, diharapkan pihak berkuasa dapat mencari jalan penyelesaian untuk membantu peniaga-peniaga trak makanan meneruskan perniagaan mereka.

“Kebanyakan yang menjalankan perniagaan ini adalah generasi Y yang menyimpan hasrat untuk maju dalam bidang tersebut. Oleh itu, diharapkan pihak berwajib dapat mewujudkan platform kepada mereka untuk meneruskan perniagaan,” katanya. 

– Sumber : Boleh baca selebihnya di sini...  >>>

Tiada ulasan:

Catat Ulasan